01 November 2009

Dungun layak diwarta 'Bandar Tenggiri'

Datuk Mior Kamarul Shahid dan kenamaan lain melihat puluhan ikan tenggiri yang ditangkap peserta Laut yang memancing di perairan Dungun dan Pulau Tenggol pada GP Joran 2009

DUNGUN: Rekod tangkapan ikan tenggiri melebihi 300 kilogram pada pusingan akhir Karnival Memancing GP Joran 2009 di sini, Ahad lalu, membuktikan Dungun layak diwartakan sebagai 'Bandar Tenggiri' mulai tahun depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Zaa'bar Mohd Adib.Beliau berkata, pengisytiharan ‘Dungun Bandar Tenggiri’ sempena keistimewaan perairannya yang kaya dengan spesies ikan mahal berkenaan, sekali gus mencatatkan satu lagi lokasi baru agro pelancongan bagi Terengganu yang sebelum ini memang terkenal dengan keindahan maritimnya.“Kalau Pulau Kapas serta Redang, kaya dengan pesta mencandat sotong yang disambut setiap tahun, Tasik Kenyir pula terkenal dengan kerakusan ikan toman. Kini, Dungun mencatatkan satu lagi satu sejarah dengan kehadiran begitu banyak spesies tenggiri sepanjang tahun yang mampu menjanjikan satu sukan memancing mencabar di rantau ini.

“Ini dibuktikan pada penganjuran GP Joran Ahad lalu, sebanyak 247.48 kilogram atau 36 ekor tenggiri dihantar peserta Kategori Laut ke meja hakim untuk ditimbang. Saya difahamkan banyak lagi ikan tenggiri dipancing peserta, bagaimanapun saiz agak kecil dan tidak layak dipertandingkan,” katanya ketika berucap pada majlis penutup dan penyampaian hadiah Grand Slam GP Joran 2009 di Kuala Dungun, di sini, Ahad lalu.Beliau berkata, Terengganu memiliki pesisiran pantai sepanjang 244 kilometer dan sangat sesuai untuk penganjuran sebarang aktiviti riadah, sukan dan rekreasi air.Zaa’bar berkata, pihaknya berbangga kerana pertandingan memancing Grand Slam Karnival GP Joran 2009, banyak membantu kerajaan negeri mempromosikan Dungun, khususnya sebagai lokasi pelancongan menarik untuk dilawati, apatah lagi setiap kali penganjuran pertandingan memancing itu, ia menarik ribuan pengunjung seluruh negara.“Kerajaan negeri turut menyenaraikan GP Joran sebagai acara tetap tahunan dan mencatatkannya dalam kalendar pelancongan negeri. Kerajaan negeri mengadakan promosi aktiviti memancing ini (GP Joran) hingga ke China dan baru-baru ini kita menganjurkan seminar memancing bersama persatuan pemancing profesional negara berkenaan,” katanya.Beliau berkata, bagi memasyhurkan lagi bandar Dungun dan menarik kunjungan lebih ramai pelancong tempatan serta asing ke bandar ini, kerajaan negeri akan membina replika ikan tenggiri sebagai ikon.“Inisiatif sebegini adalah pemangkin kepada usaha memperkenalkan Dungun kepada pengunjung yang bukan saja datang untuk menyertai pertandingan memancing, tetapi dapat menggamit kunjungan seterusnya ke Dungun dan Terengganu amnya pada masa akan datang," katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...