02 December 2009

Kesan Memakan Ikan Terkena Racun

IKAN yang dituba sebenarnya sudah memindahkan racun dari umpan ke sistem badan dan seterusnya sebati bersama isi tubuhnya. Ada di kalangan penuba berpendapat dengan membasuh ikan selepas disiang dengan air yang banyak dan kadangkala dibasuh dengan air kelapa dapat melupuskan racun berkenaan. Anggapan ini salah sama sekali. Kesan kepada manusia terbahagi kepada dua iaitu kesan segera dan tertunda. Ia adalah kesan keracunan berantai yang terpindah secara tidak langsung akibat memakan isi ikan yang mengandungi racun berkenaan. Keberkesanan racun ini boleh mencapai lebih dua pusingan pemangsaan (putaran) bergantung kepada jumlah dos racun yang terbabit. Perlu diingat juga racun ini boleh memasuki tubuh badan kita secara serapan menembusi kulit. Kesan segeranya ia berkaitan perubahan kimia dalam badan yang agak kompleks dan panjang untuk dijelaskan. Umumnya ia berkaitan radang otot, saraf serta otak. Kesan jangka panjang juga amat banyak seperti kerosakan hati, buah pinggang dan otak. Oleh itu, adalah lebih baik kita menghindarinya daripada cuba memperjudikan nasib dengannya. Kerap kali terdapat binatang pemangsa seperti biawak memungut dan memakan bangkai ikan ini tetapi akhirnya ia turut menjadi bangkai. Ini menunjukkan ikan itu cukup berbisa untuk membunuh pemangsanya. Apa yang dikhuatiri kemungkinan berlakunya seseorang memungut ikan mati dan hanyut akibat racun ini tanpa mengetahui latar belakang kematian ikan berkenaan. Sudah semestinya risiko keracunan lebih serius akan berlaku. Dari itu, sebaiknya hendaklah jangan dipungut sebarang ikan hanyut kerana ia berbahaya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...