02 December 2009

Tuba Umpan Beracun

KAEDAH ini adalah paling bahaya. Ia jelas mendedahkan si pemakan ikan kepada keracunan kimia antara yang paling berbisa di kalangan ketegori 'racun'. Racun ini digunakan dengan mencampurkan ia bersama-sama umpan. Konsep mengumpan ini sama seperti memancing dengan racun bertindak sebagai mata pancing. Biasanya umpan ialah ricihan isi kelapa sawit yang diuli dengan tepung atau roti yang dipenyek (diuli semula) dan kemudiannya dicampurkan dengan racun kimia berkenaan. Racun yang digunakan ialah dari kategori N-Methyl Carbamate yang dikenali amat toksid. Pelbagai jenis racun kimia dalam kumpulan ini dan jenis yang biasa digunakan ialah Carbofuran dan Methomyl. Ia berbentuk seperti garam masakan biasa. Mungkin di kalangan kita yang kurang arif dengan bahan kimia sebegini tertanya-tanya adakah benar bahan ini ada digunakan dan senang didapati. Jawapannya ialah ya... tetapi kita lebih biasa dengan jenamanya sahaja tanpa mengetahui nama kimia sebenar. Carbofuran (nama piawaian British, Amerika Syarikat dan ISO) selalunya kita kenali dengan Furadan dan racun ini selalunya ditabur ke dalam tanah ketika menanam bagi mengelak tanaman daripada dimakan ulat dan serangga perosak. Ada juga yang digunakan dengan cara semburan. Malangnya ada juga penanam sayur yang menggunakan racun ini sebagai gantian meracun semburan bagi memastikan sayur mereka subur. Konsep ini adalah salah kerana ia tidak disyorkan untuk tanaman usia singkat seperti sayur-sayuran. Bagaimanapun dalam konteks menuba ikan, ia kurang digunakan kerana ia bukan lagi pada keadaan aslinya. Ia amat berbisa dan boleh menyebabkan kematian seorang manusia dewasa dengan hanya termakan sekadar setengah gram (berat sebiji kacang soya). Methomyl pula lebih dikenali dengan nama dagangannya 'Lannate'. Racun ini sudah dihentikan penjualannya di negara ini tetapi ada di kalangan petani dan peniaga menyeludup masuk racun ini dari negara jiran. Ia sangat berbisa, sama dengan racun Carbofuran. Selalunya di sekitar tahun 1980an, racun ini sering digunakan untuk membunuh anjing liar dan sering kita rdengar aktiviti me'lanet' anjing di Klang dan sekitarnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...