30 April 2010

Juara Pra-GP Joran 2010

Gugup melihat pari besar tergolek di pantai

MELAKA : “Saya amat terharu, dalam keadaannya mengandung empat bulan anak kedua, isteri masih membenarkan saya menyertai Karnival Pra-GP Joran 2010 malah sanggup menemani saya pada pertandingan ini,” kata juara Pra-GP Joran 2010, Sardi Othman, 40. Sardi berkata, pengorbanan isterinya, Marlina Toman, 26, berbaloi apabila beliau muncul juara menewaskan kira-kira 2,200 peserta dari seluruh negara pada pertandingan yang diadakan di Pantai Puteri, di sini.
Dengan kemenangan itu, Sardi membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 iaitu ganjaran paling lumayan pernah disediakan Berita Harian pada siri pertandingan ini. Sardi berkata, pada mulanya, beliau agak keberatan bertanding pada Karnival Pra-GP Joran 2010 kerana memikirkan isteri sedang hamil. “Namun, isteri saya tidak menghalang jika saya mahu menyertai Joran. Isteri saya memberi sokongan penuh, jadi kami sekeluarga segera bertolak ke Pantai Puteri untuk mendaftar,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah pemenang Karnival Pra-GP Joran 2010 oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Turut hadir di majlis itu, Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid; Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Haron dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Pantai Kundor, Datuk Ab Rahaman Ab Karim.Sardi berkata, beliau mula berjinak-jinak dalam aktiviti memancing sejak tiga tahun lalu serta sering membawa isteri dan anak sulungnya ke kolam memancing jika ada kelapangan atau pada hujung minggu.Menceritakan pengalamannya bertanding, Sardi berkata, beliau gugup seketika sebaik melihat seekor pari beting berjaya dinaikkan ke pantai. Malah, katanya, pada ketika itu, beliau terus menyimpan joran kerana tidak mahu meneruskan pertandingan.“Selepas menyerahkan hasil tangkapan kepada marsyal bertugas, saya bersandar pada sebatang pokok ru bagi menghilang rasa gementar sambil mengemas peralatan. “Bukannya apa, selepas melihat tali sering bersimpul dengan pemancing lain, saya rasa tiada mood hendak terus memancing, padahal had masa pertandingan masih berbaki dua jam.
“Dalam hati berkata-kata, jika ada pemancing lain menaikkan tangkapan besar... Naya dibuatnya! Orang kata, kalau sudah rezeki, tidak ke mana-mana dan saya hanya berserah kepada Allah,” katanya.Ditanya mengapa beliau enggan terus bertanding selepas insiden menaikkan ikan pari beting, Sardi yang mencari pendapatan sebagai tukang rumah dari Sungai Besar, Selangor, berkata:“Sebagai pemancing yang baru berjinak-jinak dengan GP Joran, pengalaman menaikkan ikan di hadapan ratusan pemancing lain yang memerhatikan cukup membuatkan saya cuak seketika.“Perasaan gementar tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata apabila berlawan dengan ikan yang belum dikenal pasti pada awalnya. Terdetik juga di fikiran dan rasa bimbang jika tali putus akibat bersilang dengan tali pemancing lain. Namun, perasaan itu hilang apabila tangkapan selamat didaratkan,” katanya.Sehingga tempoh masa pertandingan tamat, pari seberat 5.15 kilogram yang dipancing Sardi disahkan sebagai tangkapan terberat dan menewaskan kira-kira 2,000 peserta lain. Pada pertandingan itu, pemancing dari Sungai Buloh, Selangor, Idris Yusoff, 45, yang mendaratkan seekor pari bersaiz kecil iaitu 1.47 kilogram diumumkan sebagai pemenang tempat kedua dengan hadiah wang tunai RM10,000.Manakala tempat ketiga dimenangi Mohd Jais Ali, 42, dari Endau, Johor yang membawa pulang RM5,000 melalui tangkapan semilang seberat 1.16 kilogram.
Sumber : Berita harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...